Kerjaya kelab Javier_Zanetti

Talleres RE

Selepas beliau ditolak untuk menyertai akadem Independiente, Zanetti menyertai kelab Talleres de Remedios de Escalada yang beraksi di divisyen dua. Di sana, beliau beraksi 33 perlawanan dan menjaringkan satu gol pada satu-satunya musim di kelab itu sebelum beliau melakukan perpindahan ke kelab divisyen pertama, Banfield.

Banfield

Zanetti yang baru berusia 20 tahun membuat debut untuk Banfield pada 12 September 1993 pada perlawanan menentang River Plate di tempat sendiri. Beliau menjaringkan gol pertamanya 17 hari kemudian pada perlawanan menentang Newell's Old Boys yang berkesudahan seri 1–1. Persembahan cemerlang Zanetti untuk Banfield akhirnya beliau mendapat populariti oleh peminat El Taladro dan juga menerima panggilan pasukan kebangsaan. Kelab-kelab gergasi divisyen satu seperti River Plate dan Boca Juniors telah menunjukkan minat terhadap Zanetti tetapi Zanetti memutuskan untuk kekal buat satu tahun lagi. Pada tahun 1995, bersama-sama pemain Argentina Sebastián Rambert, Zanetti berpindah ke kelab Itali,Internazionale dan menjadi pembelian pertama di bawah pemilikan baharu Inter, Massimo Moratti.

Internazionale

Zanetti sedang menjalani latihan

Zanetti melakukan penampilan sulungnya untuk Internazionale pada 27 Ogos 1995 ketika perlawanan menentang Vicenza. Beliau menjaringkan gol kedua Inter dalam aksi final Piala UEFA menentang Lazio di Parc des Princes, Paris.[3] Kejayaan tersebut menandakan kejayaan pertama Zanetti bersama Inter setelah tewas dalam perlawanan akhir Piala UEFA pada musim sebelum ini.

Pada lewat tahun 2001, beliau telah dipilih untuk menjadi kapten pasukan Inter setelah Ronaldo, kapten Inter sebelum ini mengalami kecederaan.

Pada Ogos 2003, Zanetti menandantangani kontrak baru bersama Inter sehingga Jun 2007.[4][5]

Selepas ketibaan Maicon pada permulaan musim 2006–07, Zanetti berpindah ke posisi pemain tengah dari posisi asalnya iaitu bek kanan. Beliau mengakhiri kemarau empat tahun tanpa jaringan gol peribadi pada 5 November 2006[6] dalam aksi menentang Ascoli. Sebelum perlawanan itu, kali terakhir beliau mencetak nama sebagai penjaring gol Inter pada 6 November 2002 semasa menentang Empoli. Pada 27 September 2006, Zanetti beraksi dalam perlawanan ke-500nya untuk Inter ketika menentang Bayern Munich.[7] Sementara itu pada 22 November 2006 pula, beliau beraksi dalam perlawanan ke-100nya dalam pentas Eropah ketika menentang Sporting Clube de Portugal.[8]

Zanetti memainkan peranan penting dalam perlawanan Supercoppa Italiana 2008 menentang Roma. Beliau menyudahkan tendangan penalti Inter yang terakhir dalam aksi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 sekali gus memastikan pasukannya merangkul kejuaraan tersebut buat kali ketiga.[9][10] Zanetti meraikan perlawanannya ke-600 untuk Inter pada 24 September 2008 semasa menentang Lecce.

Walaupun Zanetti sering dikelaskan sebagai seorang pemain pertahanan, namun kebanyakannya beliau beraksi di posisi pemain tengah pada awal musim 2008–09. Pada Oktober 2008, ketika jurulatih José Mourinho berdepan krisis beberapa tonggak pemain tengah Inter seperti Esteban Cambiasso dan Sulley Muntari dibelenggu kecederaan, Zanetti sekali lagi berpindah ke posisi pemain tengah bagi menghadapi perlawanan menentang Genoa dan Fiorentina. Semasa tempoh itu, Mourinho meletakkan beliau di posisi pemain tengah manakala barisan pertahanan dibarisi oleh Maicon, Lúcio, Walter Samuel dan Cristian Chivu.

Zanetti sedang beraksi untuk Inter pada tahun 2009.

Musim 2009–10 bermula dengan langkah kanan buat Zanetti apabila beraksi dalam pertembungan Derby della Madonnina menentang musuh tradisi, Milan dan berjaya membelasah pasukan lawan dengan skor 4-0. Dalam perlawanan menentang Genoa pada 17 Oktober, beliau memulakan serangan hendap bagi merencanakan jaringan gol kedua Inter setelah berjaya merebut bola daripada pemain lawan. [11] Pada 24 Oktober, beliau mencapai rekod yang dipegang oleh Giacinto Facchetti iaitu 476 kemunculan di Serie A semasa beliau beraksi menentang Catania. Beliau turut masih memegang rekod 162 penampilan berturut-turut untuk Inter.[12][13][14]

Inter meraih trofi Liga Juara-Juara Eropah setelah menumbangkan Bayern Munich 2-0 dalam aksi final pada 22 Mei 2010.[15] Perlawanan itu menandakan penampilan ke-700 untuk Zanetti bersama Inter[16] dan kejayaan tersebut menjadikan beliau merupakan kapten bagi mana-mana kelab Itali yang pertama meraih pencapaian "treble" iaitu setelah membantu Inter merangkul Scudetto, Coppa Italia dan Liga Juara-Juara Eropah.[17]

Zanetti pada tahun 2011.

Pada 20 Oktober 2010 iaitu semasa berusia 37 tahun dan 71 hari, Zanetti menjadi pemain tertua menjaringkan gol dalam kejohanan Liga Juara-Juara ketika menentang Tottenham Hotspur di San Siro.[18] Jaringan gol tersebut merupakan jaringan keduanya di Liga Juara-Juara setelah beliau kali terakhir mencipta gol pada Disember 1998 ketika menentang Sturm Graz. Di samping itu, beliau juga merupakan salah satu penjaring gol Inter dalam aksi Piala Dunia Kelab FIFA 2010 menentang Seongnam Ilhwa Chunma.[19]

Pada 19 Januari 2011, Zanetti mengambil alih rekod yang dipegang legenda Inter Giuseppe Bergomi dalam jumlah penampilan di Serie A setelah beliau beraksi dalam perlawanan ke-520nya di Serie A. Pada 11 Mei 2011, Zanetti melakukan kemunculannya ke-1000 sebagai pemain bola sepak dalam aksi Coppa Italia menentang Roma. Pada 20 September 2011, Zanetti memecah rekod Giuseppe Bergommi sebagai pemain terbanyak beraksi di Serie A semasa perlawanan menentang Novara.

Pada 10 Mac 2013, Zanetti beraksi dalam perlawanan ke-600nya di Seire A untuk Inter ketika menentang Bologna.[20] Pada 21 April 2014, beliau beraksi dalam perlawanan rasminya ke-1,100 dalam aksi menentang Parma sekali gus menjadikannya sebagai pemain keempat membuat kemunculan terbanyak sepanjang zaman.[21]

Pada 29 April 2014, pengerusi kelab Erick Thohir mengumumkan bahawa Zanetti akan bersara pada penghujung musim 2013-14 dan beliau akan menjadi pengarah kelab.[22] Perlawanan kompetitif terakhir Zanetti pada 10 Mei 2014 semasa Inter meraih kemenangan 4-1 ke atas Lazio.[23][24] Beliau menggantikan Jonathan Moreira pada minit ke-52 dan memakai lilitan kapten khas yang menampilkan nama-nama setiap pemain yang pernah beraksi dengannya sepanjang kariernya di Inter.[25] Beliau mengumumkan persaraan setelah perlawanan menentang Chievo pada 18 Mei.[26]

Rujukan

WikiPedia: Javier_Zanetti http://www.afa.com.ar/3023/la-seleccion-de-todos-l... http://www.bdfa.com.ar/jugador.asp?codigo=2605 http://www.ole.com.ar/futbol-internacional/Pupi-Mi... http://www.clarin.com/diario/2006/09/26/um/m-01278... http://www.eurosport.com/football/int-friendlies/2... http://www.fifa.com/mm/document/fifafacts/stats-ce... http://www.football-lineups.com/footballer/5011/ http://www.football-lineups.com/players/player.php... http://www.football-lineups.com/wiki/_match1323.ph... http://goal.com/en/news/60/south-america/2009/12/1...